Thursday, January 28, 2010

SELANGOR KUTUK PERBUATAN LONTAR KHINZIR DALAM MASJID

KENYATAAN MEDIA

27 JANUARI 2010

SELANGOR KUTUK PERBUATAN LONTAR KHINZIR DALAM MASJID

Kerajaan Negeri Selangor mengutuk perbuatan melontar kepala khinzir di Masjid Jumhuriyah di Taman Datuk Harun dan Masjid Masjid Al-Tarmizi di Taman Sentosa.   Kami percaya perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu beniat jahat dan bertujuan untuk  menghasut permusuhan diantara masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Kami menyeru agar penduduk berdekatan kawasan masjid tersebut dan Rakyat Selangor amnya mengambil sikap tenang dalam menghadapi situasi ini kerana sebarang perbuatan atau kenyataan ekstrem hanya akan memudaratkan lagi keadaan. Jika perkara ini berlaku, kita akan terjerumus dalam perangkap mereka yang mahu menimbulkan kekeliruan dan benci diantara kita.

Kerajaan Negeri menyeru pada pihak polis untuk menyegerakan siasatan agar mereka yang terlibat dibawa kemuka pengadilan dan bersedia untuk memberi bantuan jika perlu. Kami menegaskan bahawa sebarang serangan ke atas rumah beribadat tidak direstui oleh mana-mana ajaran agama. Saling menghormati dan toleransi adalah elemen penting bagi menjamin kestabilan dan keamanan masyarakat pelbagai kaum dalam negara seperti Malaysia.

TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Wednesday, January 27, 2010

Jangan Jadi Mangsa Kepada Agen Provokator

Kenyataan Akhbar

JANGAN JADI MANGSA KEPADA AGEN PROVOKATOR!
KUTUKAN SEKERAS-KERASNYA TERHADAP SERANGAN KE ATAS MASJID-MASJID

 
Serangan terbaru yang berupa kepala khinzir di dalam kawasan Masjid  At-Tirmizi, Sri Sentosa merupakan satu lagi cubaan terbaru golongan tertentu dalam mewujudkan ketegangan antara kaum dan agama di Negara kita. 

Tindakan yang jijik ini, yang merupakan satu lagi siri provokasi berniat jahat perlu dikecam dan ditolak oleh semua pihak demi perpaduan ummah dan keharmonian antara kaum di Malaysia.

Saya menyambut baik kehadiran hampir keseluruhan pimpinan PDRM pagi tadi yang hadir bersama saya, dan menggesa agar pemantauan dilakukan bukan sahaja di sekitar Masjid At-Tirmizi tetapi juga semua masjid-masjid serta rumah ibadat lain yang berdekatan. Siasatan terperinci wajib dilakukan oleh PDRM, dan menjadi harapan saya agar tumpuan dirubah daripada memantau ahli politik pembangkang kepada provokator-provokator jahat sebenar yang bertanggungjawab dalam serangan-serangan sebegini.

Saya juga menggesa Kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kesemua serangan jahat terhadap rumah ibadat yang dilakukan untuk menggugat kesejahteraan dan keharmonian awam. Kita berhadapan dengan kemungkinan adanya dalang di sebalik serangan-serangan ini yang memaksa sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat dan meneliti sebarang kemungkinan siapa pelaku serta penyebabnya.

Saya ingin menyeru semua pihak terutamanya rakyat Lembah Pantai agar bertenang dan bersabar dengan apa yang berlaku. Kita harus sentiasa bersatu hati dan saling percaya mempercayai antara sama lain demi memelihara ukhwah antara kaum. Saya akan turut serta dalam majlis kuliah Marghrib malam ini bertempat di Masjid At-Tirmizi untuk bersama dalam usaha memelihara ketenangan sesama kita. Sama-samalah kita berdoa untuk perlindungan dari Yang Maha Esa.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
27 Januari 2010

Monday, January 11, 2010

KENYATAAN MEDIA Dato' Seri Anwar Ibrahim

KENYATAAN MEDIA 

Tarikh: 10 Januari 2010

Kami mengecam serangan ke atas saudara kami penganut agama Kristian dan ke atas beberapa gereja di Malaysia. Serangan terbaru ke atas All Saints Church di Taiping juga merupakan satu serangan terhadap salah satu warisan negara.

Sebagai sebuah negara kita masih bergelut untuk menjunjung semangat perpaduan yang dicita-citakan oleh pejuang kemerdekaan negara ini. Saya menyeru agar kita semua akur dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama dan hak penganut agama-agama itu untuk menjaga hal ehwal agama mereka masing-masing. Ketika ini semangat musyawarah dan dialog mestilah mengatasi suara-suara mereka yang mahu memecah belahkan kerukunan rakyat serta meniup api permusuhan di negara ini.

Rakyat Malaysia mestilah bersatu menentang mereka yang mahu memperalatkan sentimen perkauman sempit dan agama untuk menyemarakkan kebencian demi laba politik puak-puak tertentu. Kita mestilah memperkukuh tekad mempertahan kebebasan beragama.
Kejadian ini merupakan satu ujian terhadap keazaman semua agama dan kepercayaan yang mahukan keamanan dan rasa saling hormat menghormati. Kita seharusnya sedar Tuhan yang kita sembah merupakan, Tuhan yang sama, Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Sejarah menunjukkan kepada kita selama 14 abad ini, Muslim yang bertutur dalam bahasa Arab, penganut Kristian dan bangsa Yahudi, masing-masing menyembah Tuhan yang dikenal sebagai Allah. Sementara diakui keresahan umat Islam di Malaysia terhadap penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut agama lainnya,  tindakan seumpama menyerang gereja dan mengadakan protes hanya membantut usaha  mencari penyelesaian. Jalan terbaik adalah melalui rundingan dan dialog antara agama.

Saya mengajak umat Islam untuk kembali kepada ayat al Quran yang menyeru kita untuk hidup dalam kerukunan dan saling mengenali di antara agama.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah " (Ali-Imran, 3:64)

Dan sepertimana yang termaktub di dalam surah al- Ankabut:

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri (al-Ankabut, 29:46)

Nabi Isa al Masih merupakan antara Rasul Ulul Azmi yang begitu dikasihi umat Islam. Saidina Umar r.a yang melawati Gereja Holy Sepulcher pada tahun 638 masehi, menggesa umat Islam untuk menghormati tempat peribadatan dan suci penganut agama Kristian. Oleh itu adalah tidak munasabah apabila pihak Polis teragak-agak untuk memberi jaminan keselamatan kepada gereja-gereja di seluruh negara.

Api kebencian ini bolehlah ditudingkan kepada kegagalan Barisan Nasional yang diketuai Umno. Propaganda Umno yang berteraskan perkauman sempit terutamanya apabila berhadapan dengan isu penggunaan kalimah Allah serta retorika media yang dikongkong kerajaan, seperti Utusan Malaysia, yang meniupkan api kebencian,  sewajarnya dipersalahkan berikutan dari serangan tersebut. Provokasi mereka bukan sahaja salah dari sudut undang-undang malah menzahirkan kempen 1Malaysia yang tidak tuntas serta bermuka-muka.

Walaubagaimanapun saya terharu dan gembira kerana serangan tersebut dikecam keras oleh organisasi Islam dan pimpinan umat. Saya juga menyambut baik saranan wakil-wakil penganut Kristian yang menyeru agar sentiasa bertenang dan menolak sebarang tindakan pembalasan serta keganasan.

Kejadian mutakhir ini menuntut kita agar segera memberi perhatian terhadap keperluan dialog antara agama. Semangat persaudaraan yang disarankan agama kita serta Perlembagaan Persekutuan perlu disemarakkan. Pakatan Rakyat akan berusaha memastikan dialog dan rundingan diadakan di semua peringkat seluruh negara. Saudara kita yang beragama Kristian perlu merasa selamat dan aman serta sedar bahawa kebebasan mereka untuk beragama adalah dijamin di negara ini.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang

Saifuddin Nasution Dilantik Sebagai Setiausaha Agung PKR

KENYATAAN MEDIA


Tarikh: 10 Januari 2010


PERLETAKAN JAWATAN SETIAUSAHA AGUNG PARTI KEADILAN RAKYAT


Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat telah diadakan semalam dan antara perkara lain isu perletakan jawatan Setiausaha Agung oleh Datuk Salehuddin Hashim telah dibincangkan. Dengan berat hati, kami menghormati keputusan beliau dan menerima perletakan jawatannya mulai 31 Januari 2010.


Bagi pihak Parti, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Salehuddin atas perkhidmatan cemerlang beliau sebagai Setiausaha Agung sejak April 2008 dan juga sebagai Setiausaha Pengelola dari tahun 2004 hingga 2008.


Memandangkan masa peralihan yang pendek serta tugas-tugas penting yang perlu dijalankan segera, saya telah melantik Saifuddin Nasution Ismail, yang merupakan Ahli Parlimen Machang, sebagai Setiausaha Agung baru dan perlantikan beliau telah diterima Majlis Pimpinan Pusat semalam.


WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Presiden

Parti Keadilan Rakyat

Saturday, January 9, 2010

Kejadian Membakar Gereja Bertentangan Dengan Prinsip Agama

*KENYATAAN MEDIA*

*Tarikh: 9 Januari 2010*

*Kejadian Membakar Gereja Bertentangan Dengan Prinsip Agama*

Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat, merakamkan
kekesalan yang tidak terhingga di atas perkembangan terkini di mana beberapa
buah gereja telah dicerobohi.

Sesungguhnya, perbuatan melakukan kerosakan kepada tempat ibadah mana-mana
penganut agama adalah sangat bertentangan dengan prinsip agama Islam malah
mana-mana agama sekalipun. Di dalam Al-Quran dinyatakan:

"Orang-orang yang diusir dari kampung halamannya tanpa alasan yang benar,
melainkan hanya kerana mereka berkata, "Tuhan kami adalah Allah." Jika Allah
tidak membangkitkan sebahagian manusia menolak (kezaliman) sebahagian yang
lain, nescaya telah dirobohkan biara-biara Nasrani,
gereja-gereja,rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid yang
didalamnya banyak di sebutkan nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti akan
menolong orang yang menolong agamaNya, Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi
Maha Perkasa." (Al-Hajj: 40)

Kami menyeru kepada semua pihak agar bertenang dan berfikiran secara
rasional dalam menangani isu yang sedang melanda negara pada ketika ini.
Tindakan yang bersifat provokasi hanya akan memburukkan keadaan.

Kami berpandangan bahawa insiden ini boleh menimbulkan ketegangan antara
agama dan mengancam keselamatan negara. Oleh yang demikian kami menuntut
kepada pihak berkuasa supaya bertindak dengan tegas dan segera bagi
memastikan mana-mana individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan
jenayah berkenaan diadili dengan sewajarnya.

*DR MUHD NUR MANUTY*
*Pengerusi, Biro Pemahaman & Pemantapan Agama*
*Parti Keadilan Rakyat*
*

Friday, January 8, 2010

Ketua Umum Keadilan, Dato' Seri Anwar Ibrahim Mengecam Serangan Ke Atas Tempat Peribadatan

KENYATAAN MEDIA

Saya mengecam tindakan pihak tertentu yang menyerang beberapa gereja di sekitar Lembah Klang. Serangan keji sedemikian merupakan satu tindakan yang dikecam keras Al-Quran. Agama Islam jelas menggesa umatnya untuk menghormati rumah peribadatan penganut agama lain.

Sehingga kini saya difahamkan sebanyak tiga gereja dijadikan sasaran serangan. Manakala itu aras bawah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati telah hangus terbakar akibat dari siri serangan tersebut. Saya menyatakan rasa syukur kerana serangan tersebut tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan jangan sesekali terjerumus ke dalam api kebencian. Sebarang tindakan tidak boleh sama sekali didasari politik perkauman sempit. Saya mempunyai keyakinan kita rakyat Malaysia akan menyelesaikan isu ini tanpa diiringi sebarang konflik. Insha-Allah usaha kita untuk mengekalkan keamanan diberkati jua.


ANWAR IBRAHIM
Web: www.keadilanrakyat.org

KENYATAAN MEDIA: Notis Perletakan Jawatan Setiausaha Agung KEADILAN

KENYATAAN MEDIA

Tarikh: 8 Januari 2010

NOTIS PERLETAKAN JAWATAN SETIAUSAHA AGUNG

Saya telah menerima melalui emel salinan notis perletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) daripada Dato' Salehuddin Hashim.

Notis itu dihantar kepada Presiden KEADILAN, Dr Wan Azizah Ismail, dan Ketua Umum, Sdr Anwar Ibrahim. Saya percaya mereka juga sudah menerima notis itu.

Mengikut Dato' Salehuddin notis berkuatkuasa mulai 31 Januari 2010. Beliau tidak memberikan apa-apa alasan meletak jawatan.

Kebetulannya esok Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat mengadakan mesyuarat biasanya. Biro Politik akan membincangkan notis tersebut dan mengambil keputusan sama ada hendak menerima atau tidak perletakan jawatan itu.

DR. SYED HUSIN ALI 
Timbalan Presiden, 
Parti Keadilan Rakyat

Monday, January 4, 2010

Perutusan Tahun Baru 2010 Dato' Seri Anwar Ibrahim

Tarikh: 31 Disember 2009 

Perutusan Tahun Baru 2010 Dato' Seri Anwar Ibrahim

Kita menyambut kedatangan tahun 2010 dengan penuh harapan, agar keadaan menjadi lebih baik buat diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Tahun yang baru, secara simboliknya, menandakan, satu permulaan kepada yang lebih baik dan berusaha menyingkirkan segala kelemahan dan keburukan. Sudah tentu semua ini tidak bermakna sekiranya kita hanya berpeluk tubuh dan gagal melakukan sesuatu. Pendek kata, iltizam untuk melakukan Perubahan sahaja tidak lah mencukupi, ianya memerlukan satu tindakan yang jitu berasaskan kefahaman terhadap Perubahan yang ingin dilaksanakan. Rakyat sesungguhnya bijak serta berkemampuan untuk membezakan di antara intan dan kaca. Mereka sedar yang manakah program perubahan palsu serta satu agenda Perubahan berhasrat untuk membawa kemaslahatan kepada rakyat. Namun sekiranya kita gagal untuk menunaikan hasrat dan cita-cita baik tersebut untuk dikecapi rakyat, ianya akan kekal sebagai satu laungan kosong semata-semata.

Tahun 2009 menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya melahirkan satu dokumen penting yang dikenali sebagai Agenda Bersama Pakatan Rakyat. Kita menyediakan suatu rencana dasar untuk membawa bangsa dan negara keluar dari kemelut yang mencengkam. Dokumen tersebut merupakan penzahiran kepada satu permuafakatan yang bukan otoritarian sifatnya. Ianya adalah permuafakatan berasaskan kepercayaan dan benar-benar jujur untuk membawa Perubahan. Kita akui sebagai satu permuafakatan yang muda, dalam proses pembentukan kepada satu permuafakatan yang lebih utuh, sudah tentu kita berhadapan dengan pelbagai pertanyaan. Ini adalah lumrah, kerana kita menuju kepada yang lebih baik, kita menawarkan satu yang baru buat rakyat dan kita berhasrat mahu sentiasa bersama mereka memastikan kesejahteraan negara ini terjamin.

Alhamdulillah rakyat menyambut baik kehadiran dokumen bersejarah tersebut. Mereka sedar untuk mengembalikan negara ini ke persada negara-negara yang sudah jauh meninggalkan kita seperti Singapura, Taiwan, dan Korea Selatan agenda pembangunan yang selama ini berasaskan perkauman sempit dan hanya membawa keuntungan kepada segelintir yang dekat dengan pemerintah mestilah diketepikan. Kini tibalah waktu untuk kita mendakap satu agenda Perubahan yang terperinci, cermat dan menyegarkan. Pakatan Rakyat menawarkan satu agenda yang seimbang; tidak hanya tertumpu memulihkan kembali ekonomi negara, akan tetapi juga berusaha mengembalikan hala tuju negara ini sebagai satu negara yang berasaskan Demokrasi Raja Berperlembagaan.

Pakatan Rakyat yakin untuk mengemudi negara ini ke taraf negara maju dengan memastikan pertumbuhan ekonomi yang sihat, agenda pembangunan yang adil untuk semua, institusi kehakiman yang bebas dari cengkaman pemerintah dan pembinaan sebuah masyarakat demokratik yang berteraskan kemuliaan insan. Dengan kepercayaan rakyat  yang kita perolehi, kita akan menggembeling seluruh tenaga dan keringat untuk memastikannya terlaksana. Keyakinan terhadap semangat rakyat, faith in the power of the spirit of the people, akan menjadi satu lagi sumber kekuatan kita, rakyat Malaysia.

Moga tahun 2010 merupakan tahun yang lebih baik buat semua dan negara ini. Inshaallah kita semua berusaha menjayakannya. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua rakyat Malaysia.

Ubah sebelum parah, ubah demi maruah.

ANWAR IBRAHIM