Monday, July 18, 2011

Program Anak Emas Pulau Pinang


Kenyataan Akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Di Komtar, George Town Pada 17.1.2011.

 

Program Anak Emas Pulau Pinang -  Kerajaan Negeri PR Menimbang Memberikan RM 100 Wang Tunai "One-off" Kepada Bayi Yang Dilahirkan Mulai Tahun Ini Kepada Salah Seorang Ibubapa Yang Merupakan Pengundi Pulau Pinang.

Kerajaan negeri PR Pulau Pinang menimbang memberikan RM 100 wang tunai "one-off" kepada setiap bayi kelahiran Pulau Pinang mulai tahun ini, di mana salah seorang ibubapa merupakan pengundi Pulau Pinang. Program "Anak Emas Pulau Pinang" akan mensyaratkan pengesahan bahawa pendapatan isi rumah keluarga tidak boleh melebihi RM4,000 sebulan.

 

Kejayaan Program Penghargaan Warga Emas RM100 setiap tahun dan RM1,000 "one-off" urusan jenazah kepada waris warga emas dilancarkan oleh kerajaan negeri PR pada 2010 demi mengenang jasa bakti sumbangan warganegara yang melebihi 60 tahun kepada pembangunan negeri, telah menyebabkan beberapa pihak mencadangkan bahawa kerajaan negeri menimbang pula golongan yang baru lahir.

 

Sebagai kerajaan berjiwa rakyat yang dengar suara rakyat, buat kerja rakyat dan berikan harapan kepada rakyat, kerajaan negeri PR anggap pemberian RM 100 one-off kepada setiap bayi kelahiran Pulau Pinang adalah satu cadangan baik. Sungguhpun pemberian one-off RM100 oleh kerajaan negeri PR adalah kecil, ia adalah untuk meraikan tambahan anak Pulau Pinang yang baru.

 

Sebanyak RM 20 juta setiap tahun telah dibelanjakan untuk program penghargaan warga emas dan waris mereka. Sungguhpun program penghargaan emas ini cuba disabotajkan oleh parti pembangkang BN, usaha sabotaj mereka gagal dengan kadar pendaftaran kini melebihi 87% dengan hampir 115,000 warga emas Pulau Pinang mendaftarkan diri.

 

Sumber kewangan program baru "Anak Emas Pulau Pinang" ini adalah sama dengan program penghargaaan warga emas iaitu datang daripada penjimatan hasil kejayaan kerajaan PR menjalankan kempen anti-rasuah yang dipuji oleh Transparency International. Program baru "Anak Emas Pulau Pinang" ini akan dibentangkan dalam mesyuarat EXCO Negeri Pulau Pinang pada minggu ini dan dijangkakan makan perbelanjaan di antara RM5-RM10 juta setiap tahun.

                                                                             LIM GUAN ENG

HUKUM ORANG KAFIR MEMBACA AL-QURAN dan Hadis


HUKUM ORANG KAFIR MEMBACA AL-QURAN dan Hadis

Baru-baru ini timbul isu berkenaan orang bukan Islam membaca atau membacakan ayat al-Quran dalam ceramah. Ada yang sampai membuat laporan polis. Ada yang berpendapat orang kafir mesti ditegah daripada membaca ayat al-Quran dalam ceramah mereka kerana ini menghina Islam. Ada yang mengatakan orang kafir haram membaca ayat al-Quran kerana makhrajnya salah. Mengeluarkan sesuatu pendapat haruslah bersumberkan dalil dan rujukan, bukan berdasarkan emosi dan perasaan.

Mereka mendakwa bahawa orang bukan Islam tersebut membaca ayat al-Quran dalam ceramahnya bertujuan untuk menghina Islam. Adakah orang yang mendakwa itu begitu hebat sehingga mampu membaca hati orang lain?. Kita tidak tahu apa niatnya. Kita tidak berupaya membaca hati orang lain sehingga mampu menyelami niatnya. Kita hanya boleh membuat penilaian berdasarkan apa yang nyata, hanya Allah yang mengetahui apa yang tersembunyi di hati. Saya sempat mendengar ceramah tersebut secara langsung. Ternyata pada zahirnya, tiada tanda atau gaya atau nada yang menunjukkan penceramah tersebut membaca ayat al-Quran bertujuan menghina Islam. Malah apa yang dapat saya katakan ini adalah suatu kemajuan yang positif dari sudut dakwah, kerana orang bukan Islam sudah mula berjinak-jinak dengan Islam dan sudah mula mesra dengan al-Quran. Selama ini mereka berprasangka buruk terhadap Islam dan al-Quran. Dahulu mereka fobia kepada Islam. Tetapi kebelakangan ini, mereka sudah membuka ruang hati mereka untuk mendekati Islam dan merujuk kepada al-Quran. Mengapa harus mereka dilarang, sepatutnya mereka diberi ruang.

Kalaulah makhraj dan sebutan salah yang dirunsingkan, maka apakah orang Islam sendiri semuanya membaca ayat al-Quran dengan makhraj yang betul dan mengikuti hukum tajwid yang tepat?. Adakah semua orang Islam fasih membaca al-Quran tanpa merangkak-rangkak?. Untuk mempertingkatkan mutu sebutan dan bacaan tentu memakan masa. Sekurang-kurangnya orang bukan Islam itu telah berusaha untuk membaca ayat tersebut setakat yang termampu. Setakat yang saya dengar, terjemahan ayat yang dibacakannya dalam ceramah itu adalah betul. Melalui terjemahan ayat, diharap moga-moga dia akan dapat memahaminya. Manalah tahu pada suatu hari nanti, dia akan terbuka hati untuk memeluk Islam. Setidak-tidaknya dia mempunyai pandangan yang positif terhadap Islam.

Berkaitan isu ini, saya berpendapat ulama-ulama silam dalam fatwa mereka lebih terbuka dan berpandangan jauh, berbanding sesetengah golongan yang mendakwa kononnya mereka bertamadun (hadari) tetapi sebenarnya jumud fikiran. Mereka sepatutnya menampilkan Islam kepada orang bukan Islam dengan gaya yang ramah, bukan dengan nada yang marah, mendekatkan mereka kepada Islam, bukan menjauhkan mereka daripada Islam.

Di sini saya petik beberapa pendapat ulama-ulama silam yang bermazhab Syafii berkenaan hukum orang kafir membaca al-Quran. Fatwa-fatwa mereka ini boleh dimanfaatkan untuk tujuan dakwah terhadap non-muslim pada masakini.

 

Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syarbini menjelaskan ;

 

"adapun orang kafir, maka dia tidak ditegah daripada membaca al-Quran, kerana dia tidak beriktikad tentang haramnya perbuatan yang demikian, sebagaimana kata al-Mawardi" (Mughni al-Muhtaj, jilid 1, halaman 72)

 

Pengarang kitab I'anah al-Talibin telah memetik keterangan dari kitab Busyra al-Karim seperti berikut :

 

"maka tidak ditegah orang kafir daripada membaca al-Quran, jika dia tidak bersikap menentang dan diharap dia akan memeluk Islam" I'anah al-Talibin, jilid 1, halaman 85)

 

Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari berkata :

 

"dan hanyasanya ditegahkan kafir daripada menyentuh mashaf karena haram menyentuh dia itu terlebih muakkad dengan dalil haram menanggung dia serta hadas dan haram menyentuh ia dengan najis bersalahan dengan membaca Quran karena harus membaca dia serta hadas dan harus membaca dengan mulut yang kena najis" (Sabil al-Muhtadin, jilid 1, halaman 112)

 

Syeikh Daud al-Fatani berkata :

 

"dan keluar dengan kata muslim orang kafir maka jangan ditegahkan dia daripada membaca Quran karena tiada ia iktikad akan haramnya tetapi jika kita harap akan Islamnya" (Bughyah al-Tullab, jilid 1, halaman 49)

 

Sumbangan oleh;

Ustaz Azmi Ahmad

Friday, July 15, 2011

Doa Buat Saudara Fayyadh, Pengiring Dato Seri Anwar Ibrahim


14 Julai 2011

Saudara Fayyadh Afiq Albakqry   Pengiring Dato Seri Anwar Ibrahim telah selamat menjalani pembedahan pada 11 Julai 2011 di Hospital Pantai.

Pembedahan yang memakan masa 5 jam itu dilakukan untuk meletakkan Plat Titanium bagi menggantikan tulang pipi kirinya yang pecah akibat tembakkan peluru gas pemedih mata .

Peluru tersebut telah dilepaskan  oleh pihak Polis sewaktu beliau mengiringi Dato Seri Anwar Ibrahim bersama orang ramai di terowong KL Sentral menuju ke Stadium Merdeka untuk  menyertai Perhimpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.Jika tidak kerana kecekapan dan keberanian beliau,peluru tersebut sudah pasti mengenai tepat pada Dato Seri Anwar Ibrahim.

Keadaan beliau kini stabil namun masih ditahan di Wad untuk pemerhatian lanjut.Marilah kita semua berdoa kepada Allah SWT agar Saudara Fayyadh sembuh dan kembali menggalas cabaran dalam perjuangan KEADILAN

http://anwaribrahimblog.com/2011/07/14/doa-buat-saudara-fayyadh-pengiring-dato-seri-anwar-