Monday, September 26, 2011

Isu Hudud: Penjelasan Lengkap Ucapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Terengganu

24hb September 2011

Saya tegaskan bahawa Pakatan Rakyat merupakan suatu muafakat utuh dan berlandaskan kejujuran mahukan Perubahan buat rakyat negara Malaysia. Oleh kerana itu, isu yang menyentuh kepentingan rakyat pastinya dibincangkan bersama kesemua wakil dari parti komponen serta keputusan yang dibuat merupakan pendirian bersama. Pun demikian Pakatan Rakyat berpendirian, setiap dari parti komponen sewajarnya mempunyai ruang untuk mengungkapkan keyakinan, faham serta ideologi terutamanya kepada pendokong mereka. Saya sendiri telah merujuk ke mahkamah syariah berkaitan tuntutan qazaf, dan pimpinan Pakatan Rakyat tidak pernah pula menghalang. Hakikatnya hanya Menteri Hal Ehwal Agama Umno yang bertindak menghalang saya dari meneruskan tuntutan qazaf tersebut. Selain itu Dato' Jamil Khir terpalit dengan tuduhan bahawa beliau menggunakan dana zakat bagi membiayai kos guaman kerana tidak memulakan pendakwaan terhadap Saiful Bukhari dalam tuntutan Qazaf saya. Permuafakatan Pakatan Rakyat bukanlah suatu bentuk usahama seperti Umno-BN yang sekadar mahu mendapat laba politik sehingga menafikan hak serta suara mereka yang tidak sehaluan.

Berkaitan hasrat Negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud, saya berpandangan kita sewajarnya menghormati keputusan tersebut, namun pastinya ia tertakluk kepada beberapa perkara. Pertamanya persoalan Maqasid al Syariah, Matlamat Utama Syariah, iaitu menjamin keadilan untuk semua. Malah dalam karya saya yang berjudul Gelombang Kebangkitan Asia, tuntas saya ungkapkan keutamaan Maqasid al Shariah demi menjamin keadilan untuk semua. Justeru adalah baik untuk kita merenung beberapa aspek perundangan syariah yang berjaya dilaksanakan di Kelantan, maka tidak wajar buat saya menempelak atau meremehkan langkah tersebut.

Sebagai seorang Muslim, pastinya saya menjunjung tinggi perintah Allah SWT serta pesan-pesan Nya yang terkandung di dalam Al Quran. Apabila ditanya, apakah pandangan saya mengenai hudud di Malaysia dan isu berkaitan undang-undang syariah serta perlaksanaannya oleh mahkamah syariah di negara ini, jawab saya, dalam konteks masyarakat Malaysia, kita semua tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana itu perlaksanaan hukum Islam sewajarnya mengambil kira keberkesanan pentadbiran mahkamah syariah negara ini memastikan keadilan untuk semua. Menyentuh persoalan keadilan untuk semua, perlaksanaan undang-undang syariah semestinya menjamin hak bukan Islam tidak dicerobohi serta dizalimi. Saya menasihati rakan-rakan untuk meneliti kenyataan saya ini berasaskan muafakat yang tertera dalam Buku Jingga:

"Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153."


Namun apa yang saya kesalkan adalah hipokrisi Umno-BN memperalatkan isu hudud ini sebagai permainan politik. Pimpinan Umno-BN tidak pernah berhasrat membincangkan isu ini secara tuntas dan serius. Mantan perdana menteri, Dr Mahathir menolak bulat-bulat malah mempersendakan peranan undang-undang syariah serta beberapa pesan yang dianggap sebahagian dari sunnah Rasulullah SAW. Media yang dikuasai pemerintah pula mencanangkan kononnya undang-undang syariah sebagai suatu warisan zaman primitif. Harus diingat, pandangan beberapa kerat pimpinan Umno yang mempersenda hukum Islam ini sesungguhnya tidaklah mewakili umat. Waima mutakhir ini beberapa pimpinan Umno memperlihatkan diri sebagai jagoan memperjuangkan Islam, manakala seringkali pula mereka menuduh pimpinan Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat agama dan bangsa, sedangkan yang sering dilaung-laungkan oleh pimpinan Umno-BN sekadar retorika membakar sentimen serta sering tersasar dari kehendak syariah yang mahukan kemaslahatan untuk rakyat.

ANWAR IBRAHIM

Wajar Tukar Pinjaman PTPTN ke Biasiswa Rakyat: Mansor

Bersempena Hari Malaysia yang merupakan cuti umum, pihak kerajaan negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Majlis Penyerahan Wang Bantuan Ke IPTA bagi seluruh Seberang Perai. YB Dato Mansor telah menyampaikan sumbangan kepada 548 orang penerima sumbangan bagi daerah Seberang Perai Tengah.


Dalam ucapan beliau telah menyentuh tentang pentingnya pelajaran dan melahirkan penghargaan kepada semua para ibu bapa dan guru-guru yang telah bertungkus lumus memastikan kejayaan anak-anak Pulau Pinang.

Dalam masa yang sama beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memansuhkan pinjaman PTPTN dan mencadangkan agar diwujudkan Biasiswa Rakyat. Ini kerana menurut beliau, terdapat kebimbangan para pelajar dan ibu bapa tentang masa depan generasi yang meannggung hutang sebelum mendapat pekerjaan.

Mansor juga membuat seruan kepada kerajaan persekutuan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai hub pendidikan yang cemerlang. Ini kerana Pulau Pinang telah terbukti sebagai pusat pendidikan yang bertaraf antarabangsa seperti wujudnya Universiti Sains Malaysia (USM), Wawasan Universiti dan pelbagai lagi pusat pengajian tinggi yang unggul.
Tawaran kerjasama tersebut adalah bagi memastikan Pulau Pinang terus maju dalam memacu kecemerlangannya. Ini kerana menurut beliau Pulau Pinang akan terus maju dan mengorak langkah sekiranya Pulau Pinang terus mengekalkan bakat-bakat penting yang mampu membawa Pulau Pinang terus maju ke hadapan.

Friday, September 9, 2011

Fwd: [AMK Malaysia] Kenyataan Media Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia: Cukai Perkhidmatan 6%: Golongan Muda Terus Dibebankan

> KENYATAAN MEDIA
> UNTUK EDARAN SEGERA
> 9 September 2011
>
> ----------
>
> CUKAI PERKHIDMATAN 6%: GOLONGAN MUDA TERUS DIBEBANKAN
>
> Angkatan Muda KEADILAN (AMK) kesal dengan keputusan syarikat-syarikat telekomunikasi Malaysia yang mengumumkan pengenalan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus (6%) ke atas pembelian tambah-nilai prabayar dan pek atau kad SIM yang bakal berkuatkuasa pada 15 September ini.
>
> Ini bererti, pengguna yang membeli tambah-nilai prabayar bernilai RM10 selepas ini terpaksa membayar RM10.60, iaitu dengan kos tambahan sebanyak 60 sen.
>
> Alasan syarikat telekomunikasi bahawa caj tambahan sebanyak 6% ini merupakan 'cukai perbelanjaan' adalah tidak bertanggungjawab kerana ianya secara langsung telah menambahkan beban pengguna terutamanya golongan muda, pelajar universiti, pekerja kilang dan rakyat berpendapatan rendah.
>
> AMK difahamkan bahawa peneraju penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia, MAXIS Berhad (Maxis) telah merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.498 bilion untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2011. Nilai keuntungan ini meningkat berbanding RM1.485 bilion dalam tempoh sama tahun lalu dan dijangka akan mencatatkan keuntungan berlipatganda untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2011 kesan dari pelaksanaan 'cukai perbelanjaan' ini.
>
> Pelaksanaan cukai ini membuktikan bahawa pihak kerajaan tidak serius dalam mengurangkan bebanan rakyat dan ini jelas bertentangan dengan prinsip pentadbiran kerajaan yang kononnya "mendahulukan rakyat". Kerajaan juga kini dilihat hanya bertindak "mendahulukan" syarikat-syarikat korporat dalam banyak hal dan ini terbukti menerusi pembiayaan subsidi dengan jumlah besar kepada syarikat-syarikat penjana kuasa bebas (IPP).
>
> Justeru, AMK dengan ini mendesak pihak kerajaan dan syarikat-syarikat telekomunikasi Malaysia supaya mengkaji dan membatalkan semula keputusan ini dengan mengambilkira jumlah keuntungan yang dicatatkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sebelum ini serta bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pengguna terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.
>
>
> SHAMSUL ISKANDAR MD. AKIN
> Ketua Angkatan Muda
> Parti Keadilan Rakyat
> Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.