Thursday, May 28, 2009

Dr Mansor Lancar Piagam 10 Perkara Berteraskan Kebajikan Rakyat



clik gambar untuk lihat video



Pakatan Rakyat melancarkan jaringan program dan projek berteraskan rakyat melalui Piagam Calon Parti Keadilan Rakyat hari ini di Penanti, Pulau Pinang.

Piagam tersebut diumumkan oleh Pengarah Pilihan Raya PKR, Saifuddin Nasution Ismail di Yayasan Aman, Penanti.

Piagam yang memuatkan 10 perkara teras dirumus bersandarkan kepada pengalaman luas calon PKR, Dr Mansor Othman dengan menumpukan kepada isu kemiskinan dan pemberdayaan usahawan.

Tidak ketinggalan ciri utama lain piagam ini termasuk program kebajikan ibu tunggal dan anak yatim dan pembinaan bazar untuk mengalakkan percambahan peniaga kecil serta pelancong.

"Piagam ini mendahulukan program kebajikan rakyat terutama kelompok ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya dan warga emas supaya keperluan dan kebajikan mereka terjaga.

"Ia juga mengandungi program mengadakan pusat khidmat rakyat dalam tempoh 48 jam selepas diumumkan sebagai wakil rakyat DUN Penanti. Pusat ini akan berfungsi sebagai "one stop centre" yang membolehkan rakyat tanpa mengira kaum mendapatkan perkhidmatan daripada wakil rakyat dan talian hotline serta e-mel aduan untuk membolehkan rakyat berurusan terus 24 jam sehari dengan wakil rakyat," kata Dr Mansor.

Beliau turut memberi penekanan kepada kerjasama erat masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan bagi memajukan Penanti.

Bagi menjayakan hasrat ini, jaringan dengan kumpulan sivil dan institusi pendidikan dieratkan supaya pengalaman dan kepakaran mereka dapat dimanfaatkan dalam DUN ini.

Beliau, yang juga bekas profesor madya di Universiti Sains Malaysia meletakkan pendidikan sebagai teras utama membasmi kemiskinan dan meningkatkan kualiti kehidupan di Penanti.

"Program tuisyen dan bimbingan percuma kepada anak-anak cemerlang terutama dari kalangan keluarga berpendapatan rendah akan diadakan," kata Dr Mansor.

Pembangunan prasarana mesra rakyat juga menjadi keutamaan calon PKR ini. Beliau mahu kemudahan prasarana termasuk pengindahan kawasan pasar dan rekreasi digiatkan, selain membina dewan komuniti sebagai nadi aktiviti masyarakat seluruh Penanti.

No comments:

Post a Comment