Thursday, April 23, 2009

Isu rasuah: SPRM telah bersihkan nama saya, kata Fairuz

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin mendakwa namanya telah dibersihkan daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti dari Keadilan Rakyat itu mendakwa telah dimaklumkan oleh pegawai SPRM berhubung perkara itu petang semalam.

"Saya dimaklumkan bahawa nama saya telah dibersihkan dan kes ini telah pun selesai.

"Saya bersyukur bahawa akhirnya kebenaran berpihak kepada saya," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Ketika dihubungi sebentar tadi, Fairus berkata, beliau memerlukan beberapa hari sebelum bersedia untuk menemui media.

"Ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan... sehari dua ini, OK (untuk ditemui)," katanya lagi.

Difahamkan, SPRM tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa beliau berhubung soal rasuah yang dikaitkan dengan aktiviti kuari haram di Pulau Pinang.

Sumber-sumber memberitahu individu yang didakwa membuat pembayaran kepada Fairus juga menafikan berbuat demikian.

Kata sumber itu lagi, individu berkenaan juga telah bebas daripada sebarang salah laku.

Fairus, 33, yang dikaitkan dengan siasatan rasuah membabitkabn projek kuari di Pulau Pinang, meletakkan jawatan timbalan Ketua Menteri 1 pada 8 April lalu.

Beliau juga melepaskan jawatan ADUN Penanti pada 16 April lepas atas alasan ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pascaijazah.

Fairuz berkata, berkat kesabarannya mengharungi saat getir dikaitkan dengan isu rasuah kuari, akhirnya membuahkan hasil apabila kebenaran berpihak kepadanya.

Beliau yang mendapat anak lelaki semalam menganggap berita baik ini sebagai kegembiraan berganda buat dirinya.

"Inilah berkat kesabaran kita berjuang kerana agama dan bangsa, Alhamdulillah," kata Mohamad Fairus.

Bagaimanapun, pegawai SPRM tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan dakwaan tersebut.

TERIMA LAPORAN

Dalam pada itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri menerima laporan siasatan berhubung tiga kuari di daerah Seberang Perai Tengah yang didakwa terlibat dalam isu di bawah deklarasi royalti sehingga mengakibatkan kehilangan hasil kerajaan negeri, semalam.

Lim menerima laporan itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir Law Choo Kiang yang mengetuai siasatan itu.

Kata beliau, kerajaan negeri akan bermesyuarat dengan Jawatankuasa Tanah negeri sebelum mengumumkan laporan tidak lama lagi.

"Kita akan lihat cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu sebelum mengambil sebarang tindakan," katanya.

Pada 31 Mac lepas, kerajaan negeri membekukan semua bentuk operasi tiga buah syarikat kuari bertujuan membantu siasatan mengenai isu di bawah deklarasi royalti, yang mengakibatkan kehilangan hasil kerajaan.

Lim dilaporkan berkata, siasatan itu melibatkan kadar royalti tanah merah dan bahan batuan yang dikurangkan daripada RM3 kepada RM1 satu meter padu meter.

Tiga syarikat kuari itu ialah Kuad Sdn Bhd, Batu Tiga Quarry Sdn Bhd dan Saw Chong Teok Quarry Sdn Bhd.

Sementara itu, Law berkata, selain kerajaan negeri, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Pulau Pinang turut menyiasat kes itu.

"Jawatankuasa yang saya ketuai bertujuan menentukan adakah kekurangan pengiraan dan pembayaran royalti bahan batuan daripada tiga syarikat kuari itu," katanya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment