Sunday, April 26, 2009

Tidak Mustahil BN Rampas Semula P.Pinang, Kata Pak Lah

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata tidak mustahil Barisan Nasional (BN) merampas semula pemerintahan kerajaan Pulau Pinang tetapi dengan syarat parti itu perlu mempunyai kerjasama mantap bukan sahaja daripada Umno, malah parti komponen lain.

Bekas Perdana Menteri berkata amat penting kesilapan dan kesalahan yang berlaku yang menyebabkan BN kalah di Pulau Pinang diambil perhatian serta diperbetulkan selain perpaduan BN diperkukuhkan dan diperbaiki.

"Bukan mustahil ambil balik Pulau Pinang. Yang perlu kerja bersungguh-sungguh dan cukup perlu ialah perpaduan muafakat bukan sahaja antara Umno tetapi anggota komponen BN di Pulau Pinang.

"Itu penting jika muafakat tak ada payah nak buat kerja, kerja yang disusun tak dapat dilaksana sebaiknya," kata Abdullah kepada pemberita selepas majlis sambutan 100 tahun Pertubuhan Pengakap Malaysia di sini hari ini.

Abdullah yang juga Presiden Agung Kehormat Pengakap Malaysia berkata beliau menyambut baik pelantikan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang menggantikan beliau.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment