Wednesday, September 30, 2009

Rumah Terbuka Aidil Fitri Peringkat Negeri Pulau Pinang

Dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidil Fitri Peringkat Negeri Pulau Pinang pada hari Sabtu, 3 Oktober 2009 mulai jam 9:30 pagi hingga 12:00 tengahari bertempat di Dewan Seri Mutiara, Politeknik Seberang Perai , Seberang Perai Tengah.

Sehubungan dengan itu, Orang ramai adalah dijemput hadir bersama keluarga masing-masing untuk memeriahkan suasana majlis itu nanti.

Tuesday, September 29, 2009

Sekitar Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Penanti






Pada Hari Raya kedua yang jatuh pada 21 September 2009 telah berlangsung majlis rumah terbuka Aidilfitri DUN Penanti. Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran TYT Tun Dato Seri Utama (Dr.) Hj. Abdul Rahman bin Hj. Abbas, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Y.B. Dato' Seri Anwar bin Ibrahim dan isteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dan isteri serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Majlis diadakan di Padang Awam Taman Guar Perahu, Penanti.

Lebih kurang 10 jenis hidangan disediakan kepada tetamu yang berkunjung dalam majlis ini. Dianggarkan 6000 orang menghadiri majlis pada kali ini.

Y.B. Mansor turut menyumbang "duit raya" kepada kanak-kanak bagi memeriahkan majlis.

Majlis Sumbangan Aidilfitri Untuk Anak Yatim

 








26 September 2009. YB Mansor menyampaikan sumbangan kepada lebih kurang 40 kanak-kanak yang merupakan anak yatim di Dun Penanti hari ini.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran konvoi bermotosikal berkuasa besar. Anak-anak yatim turut dibawa menaiki motosikal tersebut bagi menghiburkan hati mereka sempena menyambut hari raya.

Saturday, September 19, 2009

Perutusan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sempena Hari Raya Aidilfitri 2009/1430H

Ramadhan telahpun meninggalkan kita dan kini Syawal pula bertamu. Selama sebulan umat Islam berpuasa menahan diri bukan sahaja dari lapar dahaga malah yang lebih utama, menahan nafsu dari segenap aspek kehidupan. Semoga latihan selama sebulan ini telah menjadikan kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa dan pada masa yang sama mengukuhkan iltizam kita untuk terus istiqamah di dalam perjuangan.  

Semangat Syawal pada kali ini seharusnya ini menjadi pendorong bagi kita semua untuk terus menyemarakkan obor perjuangan demi mewujudkan sebuah pentadbiran yang adil di negara ini. Apatah lagi Syawal kali ini disambut dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Kerajaan bukan sahaja gagal mengambil langkah-langkah berkesan menanganinya malah dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga petrol yang barang pasti melonjakkan harga barang dan meningkatkan kos sara hidup rakyat. 

Syawal juga kita sambut dengan turut menginsafi malapetaka yang melanda saudara-saudara kita di seluruh dunia; di selatan Thailand, Palestin dan di Iraq antaranya. Penindasan berterusan terhadap mereka seharusnya menjadi pengajaran kepada kita akan peri pentingnya kita menghargai kemerdekaan yang kita nikmati ini dengan membuka ruang lingkup yang seluas mungkin bagi mempraktikkan prinsip-prinsip demokrasi. Perpaduan kaum adalah inti pati utama bagi sebuah negara merdeka. Justeru parti politik berteraskan kaum serta mengamalkan adu domba berbaur perkauman harus ditolak sama sekali kerana ia bakal mengundang perpecahan dan kehancuran bangsa.  

Sempena Syawal yang mulia ini, saya mengucapkan selamat menyambut Eidul Fitr kepada pimpinan parti, pimpinan Pakatan Rakyat, ahli-ahli dan para penyokong serta seluruh umat Islam. Marilah kita perkuatkan azam dan tekad untuk memperbaharui perpaduan agar dapat sama-sama kita bina sebuah negara demokrasi yang adil, maju, makmur dan sejahtera. 

Salam Eidul Fitr. Maaf Zahir Batin.

DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat