Wednesday, October 12, 2011

PROJEK NAIK TARAF PASAR AWAM PENANTI

MPSP memperuntukkan RM167 ribu bagi kerja-kerja menaik taraf pasar awam berkenaan yang dimulakan sejak awal bulan ini ujar Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri (1).

Katanya, kerja-kerja menaik taraf itu membabitkan penukaran lantai,mengecat semula pasar, menukar meja jualan serta membaiki longkang dan perpaipan bagi menyalurkan bekalan air kepada setiap peniaga yang berjumlah kira-kira 53 peniaga.

Disamping itu juga beliau berkata, tapak jualan makanan dan minuman yang terletak di luar pasar turut dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada pengungjung dan peniaga.

"Kita menjangkakan kerja-kerja ini (menaik taraf pasar) akan siap penghujung bulan November nanti.

"Pasar ini tidak pernah diselenggara sejak ia wujud bertahun lalu. Malah kerajaan terdahulu juga dilihat mengabaikannya. Justeru, hari ini, kita bantu bagi menghidupkan semula kawasan ini," katanya yang juga merupakan ADUN Penanti.

"Projek kedua adalah memperbaiki sistem paip dimana kita memastikan setiap peniaga di Pasar Awam Penanti ini mempunyai satu paip air. Ini dapat memudahkan para peniaga disini. Kos untuk memperbaiki paip adalah sebanyak RM 150 ribu ringgit" ujar beliau lagi.

Sementara itu, pada perkembangan berkaitan, Ahli Majlis MPSP, Amir Md Ghazali memberitahu peniaga pasar malam Penanti akan dipindahkan selepas kerja menaik taraf jalan dalam kawasan pasar siap.

Menurutnya, pemindahan peniaga itu sebenarnya sudah pun dirancang sejak lima tahun lalu, namun, ia tertangguh kerana tiada tempat sesuai.

Bagaimanapun, katanya,selepas berbincang akhirnya kata putus diperoleh dan kesemua peniaga akan dipindahkan ke tapak baru di sepanjang pasar awam hingga ke pusat perniagaan Penanti.

"Kita menerima banyak rungutan sebelum ini mengenai tapak pasar malam yang beroperasi setiap Isnin itu begitu dekat dengan rumah penduduk di Taman Penanti.

"Justeru, kita berharap dengan adanya tapak baru ini bukan dapat menyelesaikan masalah penduduk, tetapi juga aliran trafik di pekan Penanti yang mana ia bakal dijadikan laluan sehala," katanya.

Beliau berkata, proses pemindahan peniaga akan dilakukan bermula tahun hadapan, selepas tapak baru siap pembinaannya Disember ini.

-ends-