Friday, December 11, 2009

AMK: Mahkamah Syariah turut bicara kes Anwar

Dis 11, 09 4:29pm  (Malaysiakini.com)
 
Kira-kira 30 anggota PKR mengadakan protes secara aman di luar Masjid Jamek Seberang Jaya di Pulau Pinang selepas solat Jumaat hari ini.
 
Protes tersebut, yang diketuai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, mendesak kerajaan pusat membenarkan Mahkamah Syariah turut mendengar kes liwat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut mereka, prosiding Mahkamah Syariah boleh berjalan serentak dengan prosiding di mahkamah sivil.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ketua umum PKR itu telah menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa ia merupakan 'satu lagi plot' kerajaan terhadapnya.

Thursday, December 10, 2009

Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama

KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT PERTAMA
Tarikh : 30 DISEMBER 2009
Tempat : AUDITORIUM MBSA, SHAH ALAM


Oleh Roziyah Mahamad (erapakatan.com)


KUALA LUMPUR: Konvensyen Pakatan Rakyat yang bakal diadakan merupakan satu usaha Pakatan Rakyat (PR) dalam membentuk satu uniti di antara PKR, PAS dan DAP sendiri.

Konvensyen yang pertama kali diadakan ini bakal membincangkan topik ‘Dasar Bersama Pakatan Rakyat’. Pembentangan kertas kerja ini akan disampaikan oleh Pemimpin Utama Pakatan Rakyat semasa Konvensyen tersebut.

Konvensyen ini seolah-olah memberi bayangan kabinet yang wujud hasil gabungan ke tiga-tiga parti dalam merampas pemerintahan yang kini di terajui Barisan Nasional. Ia bagi mengimbangi kepincangan pentadbiran Najib yang sedia ada.

Pembentangan ini akan menjadi dasar yang akan diterima, disepakati dan dihormati oleh ketiga-tiga Parti dan muafakat Pakatan Rakyat.

Tema konvensyen Pakatan Rakyat ini adalah ‘Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan’. Konvensyen ini juga akan menjadi pemangkin kepada hasrat Pakatan Rakyat untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah kepimpinan yang berwibawa.

Seramai 1500 Perwakilan dari ketiga-tiga Parti akan hadir dan berhimpun di Shah Alam bagi menyaksikan detik penting dan sejarah besar Pakatan Rakyat serta seluruh rakyat Malaysia secara amnya.

Konvensyen ini akan diadakan pada hari Sabtu, 19 Disember 2009 bertempat di Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor.

Wednesday, December 2, 2009

Forum MB Perak YB Dato' Nizar Jamaluddin

Krisis Perak: Pengajaran Menuju Sistem Dua Party di Malaysia
Perak Crisis: The lessons for Two-Party System in Malaysia

  • Penceramah: YB Dato' Nizar Jamaluddin (Menteri Besar Perak)
  • Tarikh: 4hb Disember, 2009 Jumaat
  • Masa: 8.30mlm
  • Tempat: Kompleks Penyayang

    Jalan Utama, Pulau Pinang

  • Percuma! Semua Dijemput.
  • Bahasa Malaysia dan English
  

  • dianjur oleh:
   Biro Komunikasi, Parti KeADILan Pulau Pinang

Thursday, October 29, 2009

KENYATAAN MEDIA Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KENYATAAN MEDIA 
UNTUK EDARAN SEGERA

Tarikh: 29 Oktober 2009

Rombakan kepimpinan Keadilan telah menimbulkan kekeliruan dan keresahan di kalangan tertentu. Saya sepenuhnya menyedari bahawa tidak semua akan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat kepimpinan parti serta menghargai betapa sukarnya kami untuk membuat keputusan dengan meneliti setiap pandangan yang disampaikan, termasuk dari cabang-cabang yang menjadi tulang belakang parti, di samping memastikan parti mencapai matlamatnya. 
  
Tatkala parti kita mulai berkembang dan menjelma menjadi sebuah organisasi yang disegani dan dihormati, sememangnya kita akan menempuh saat sukar untuk mencipta kesimbangan kepimpinan yang terbaik dan strategi yang ampuh untuk mengangkat kita ke tahap perjuangan seterusnya. Sepanjang itu kita telah menempuh pelbagai cabaran serta menemui bakat-bakat baru yang komited dengan perjuangan parti. Kita perlu bekerja kuat untuk mencapai apa yang dicita-citakan dan keputusan yang dibuat minggu ini dibuat selepas mendapat mandat dan berdasarkan semangat musyawarah dalam parti.

Keadilan ditubuhkan untuk menjadi wadah penyatu kepada semua Rakyat Malaysia merentasi batas agama dan kaum serta mengembalikan keutuhan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perjuangan ini ternyata bukan tugas mudah dan merupakan satu tanggungjawab serta cabaran kepada semua pendokong Keadilan. 
  
Beberapa tahun lalu ramai yang mencemuh kita kerana kesungguhan perjuangan Keadilan yang berhasrat untuk menamatkan politik perkauman sempit dan membanteras amalan rasuah. Namun bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, kita telah melakarkan kejayaan bersejarah demi memulihkan demokrasi, kebebasan dan kedaulatan undang-undang. Kejayaan tersebut kita kecapi walaupun tidak mendapat sokongan media arus perdana dan berhadapan dengan segala kekuatan serta serangan bertali arus institusi kerajaan yang dikongkong pimpinan Umno-Barisan Nasional. 
 
Sememangnya kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang mengecewakan selepas pilihanraya umum Mac lalu. Perjuangan politik kepartian terbukti berhadapan dengan jalan berliku, dan permuafakatan politik tidaklah menjelma sekelip mata. Kekecewaan yang diluahkan oleh sebilangan rakan dan ahli parti ada asasnya. Walau bagaimanapun saya sedia berbincang dengan semua pihak didasari rasa hormat, persefahaman dan iltizam menegakkan keadilan. 
  
Masa hadapan negara ini, perjuangan kita serta Pakatan Rakyat tidak bergantung kepada mana-mana individu. Saya menyeru agar semua berpegang teguh dan tetap bersabar memastikan kejayaan perjuangan kita demi Rakyat Malaysia.
 

WAN AZIZAH WAN ISMAIL 
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Protest letter to Malaysiakini

Dear Editor, 

I wish to bring to your attention a couple of Malaysiakini news pieces that of late have placed Parti Keadilan Rakyat (PKR) in underserved bad light due to alleged accounts of in-fighting and dissensions within the party that have depended largely on unnamed so called "insider sources/ accounts."

Two recent reports come to mind "Sabah chief throws 'tantrums' at PKR meet" (15 October 2009) which I have already clarified with a press statement; and now the latest report "PKR sec-gen denies quit rumours" (27 October 2009) which had several hours earlier appeared in a more scandalous form but has since been amended. As far as the party leadership is concerned, it has not received any resignation letter and Salehuddin Hashim remains PKR's secretary-general. But the damage has been done: another report on in-fighting and dissensions in PKR. It would be interesting if Malaysiakini could confront these "sources" and demand for a copy of the "strongly-worded letter of resignation."

While it is not in PKR's place nor is it desirable for a political party to influence editorial policies of an independent news organisation like Malaysiakini, I found these pieces have been far too reliant on unnamed "insider sources/ accounts" that have exaggerated or told half truths or simply lies of particular party affairs.

While I do not doubt that there are "insider sources" for whatever devious plans and motives have been leaking out such information to Malaysiakini, I would request that you take more care and consideration in basing reports on these unnamed "insider sources/ accounts"; press for them to be named if they want to be taken seriously; and to scrupulously verify from other sources who have no qualms to be named.

There now seems to be a concerted campaign to portray PKR as a party mired in deep internal trouble and I hope Malaysiakini which has been the leading new media over the last decade can exercise better journalism and avoid being manipulated towards that end.   

Thank you.

Yours sincerely,

LATHEEFA KOTA

Information Chief, Parti Keadilan Rakyat

Wednesday, October 14, 2009

Mana Janji Partisipasi Aktif 30 Peratus Pengiktirafan Wanita Malaysia?

KENYATAAN MEDIA
UNTUK EDARAN SEGERA

Tarikh: 14 October 2009


MANA JANJI PARTISIPASI AKTIF 30 PERATUS PENGIKTIRAFAN WANITA MALAYSIA?

Polisi penyertaan wanita sebanyak 30% dalam badan pembuat keputusan di Malaysia telah dipublisitikan semenjak tahun 2004 dan diputarkan semula menjelang Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK9) bagi tempoh 2006 hingga 2010 seperti yang diumumkan Perdana Menteri ketika itu. Selaku sayap kerajaan yang bertanggungjawab, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilihat masih terkapai-kapai dan seolah-olah hilang tumpuan dan buah fikiran untuk bertindak sebagai tangan yang efektif bagi menggerakkan misi ini. 

Pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan Pelan Tindakan seperti yang dilakukan sebelum ini masih belum nampak hasilnya. Buah fikiran yang disampaikan oleh parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan, wakil badan perundangan sivil dan syariah serta wakil pusat-pusat pengajian tinggi telah tidak digarap dengan optimum. Begitu juga dengan sekian banyak bengkel, forum dan seminar yang dianjurkan bagi memberi kefahaman serta mengupas isu-isu penghalang yang selama ini menjadi tembok kepada partisipasi aktif golongan wanita Malaysia masih hanya tinggal di atas kertas.  

Melihat dari sudut wanita dalam hirarki pentadbiran Negara, tahap kepercayaan yang diberikan kepada golongan wanita dalam memainkan peranan penting melalui jawatan Menteri dan Timbalan Menteri adalah amat-amat menyedihkan. Kerajaan Barisan Nasional telah gagal dalam memberikan pengiktirafan setimpal dan menghargai tugas serta peranan golongan wanita di Malaysia berdasarkan fakta bahawa hanya 2 orang Menteri dari kalangan wanita yang dilantik daripada jumlah 27 orang Menteri Kabinet. Ini hanya sekitar 7.4% sahaja berbanding sasaran 30%. Manakala bagi jawatan Timbalan Menteri, hanya 7 orang sahaja dilantik daripada jumlah 40 orang Timbalan Menteri. Dan jawatan tersebut hanyalah jawatan yang dilihat sebagi klise kepada peranan wanita iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Kelaurga dan Masyarakat serta Kementerian Pelancongan. Apakah tiada wanita yang layak dan dipercayai untuk memimpin kementerian yang lebih signifikan peranannya seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna ataupun Kementerian Perdagangan Antrabangsa dan Industri.

Dalam konteks pemerintahan Pakatan Rakyat, Negeri Selangor sebagai contoh telah menunjukkan tauladan serta kepercayaan kepada kebolehan golongan wanita dalam menggalas tanggungjawab. Daripada 11 orang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, empat daripadanya adalah wanita dan ini merupakan bukti kepada kesungguhan politik (political will) dan bukan hanya cakap kosong sahaja.

Wanita Keadilan menggesa dan sangat berharap agar Y.B Senator Datuk Shahrizat Jalil menunaikan janjinya kepada wanita di seluruh Malaysia dengan memastikan sekurang-kurangnya 8 orang Menteri Kabinet  dan 12 Timbalan Menteri adalah dari golongan wanita. Seterusnya  kelak dituruti  ke peringkat pegawai-pegawai kerajaan dan kakitangan pentadbiran lainnya.  Sekiranya Barisan Nasional kekurangan calon yang bersih dari rasuah dan salah guna kuasa, berkaliber serta professional maka beliau wajarlah menunjukkan kematangan politik demi mencapai matlamat pembangunan dan pengupayaan wanita dengan melibatkan sejumlah 11 orang wakil rakyat wanita dari gagasan Pakatan Rakyat di Parlimen untuk berkerjasama dalam hal ini. Wanita Keadilan khususnya sentiasa komited dan akan sentiasa bangkit menjadi pembela kepada Wanita di Malaysia. 
 

YB PUAN HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Ketua Wanita, Parti Keadilan Rakyat
Ahli Parlimen Ampang

Tubuh Suruhanjaya Bebas Siasat Kekayaan Khairy Jamaluddin

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan

 

14 Oktober 2009

 

Tubuh Suruhanjaya Bebas Siasat Kekayaan Khairy Jamaluddin

 

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin bahawa beliau bersedia untuk mengiystiharkan harta yang dimiliki beliau. Beliau juga menyatakan kesediaan untuk disiasat mengenai dakwaan-dakwaan bahawa beliau memiliki kekayaan yang sangat besar dan melampaui pendapatan beliau. Kenyataan ini tidak seharusnya hanya tinggal kenyataan dan hanya diulang kembali menjelang pilihanraya.

 

AMK dengan ini mencabar Khairy untuk mengisytiharkan harta beliau termasuk pegangan-pegangan secara langsung dan tidak langsung melalui nomini, wang yang disimpan di dalam akaun-akaun di luar negara dan kepentingan-kepentingan di dalam pelbagai perniagaan.

 

Penglibatan aktif Khairy di dalam bidang perniagaan bukan sahaja menimbulkan persepsi wujud salahguna kuasa, malah para peniaga juga menghadapi persaingan yang tidak adil khususnya untuk mendapatkan projek dan tender kerajaan. Justeru, memandangkan terdapat kesediaan daripada Khairy sendiri untuk beliau disiasat, AMK mendesak PM Najib Razak supaya segera mewujudkan satu badan bebas bagi menyiasat harta-harta yang dimiliki oleh Khairy yang sebelum ini merupakan menantu kepada Perdana Menteri dan juga selaku Ketua Pemuda yang tentunya  akan mendapat kelebihan politik (political advantage) daripada kepimpinan tertinggi UMNO dan kerajaan.

 

YB Dato' Seri Anwar Ibrahim sejak dari 1998 lagi, ketika dituduh memiliki harta sebanyak RM 3 bilion dengan tegas dan berani menyatakan kesediaan dengan mendesak satu badan bebas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang tidak berasas. Namun sehingga kini tiada tindakan yang diambil oleh kerajaan dan hanya menggunakan isu ini sebagai bahan kempen murahan sewaktu pilihanraya kecil Bagan Pinang yang lalu.

 

Keengganan melakukan siasatan ini mewujudkan tanggapan umum bahawa Barisan Nasional mengambil sikap tidak apa terhadap mereka yang memiliki harta yang tersangat banyak sehingga melebihi kemampuan pendapatan.

 

AMK mendesak kerajaan untuk serius terhadap usaha membanteras rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan pemboloton kekayaan melalui cara-cara yang tidak sewajarnya.

 

Sekiranya ini tidak dilaksanakan dengan serius, maka impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara serba maju di mana kekayaan negara dikongsi secara adil tidak akan dapat dicapai. Seperti yang diungkapkan oleh Mahatma Gandhi: Kekayaan dunia adalah cukup untuk keperluan semua manusia, tetapi tidak mungkin cukup untuk memenuhi ketamakan manusia.

 

 

Shamsul Iskandar Mohd Akin

Ketua

Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Wednesday, September 30, 2009

Rumah Terbuka Aidil Fitri Peringkat Negeri Pulau Pinang

Dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidil Fitri Peringkat Negeri Pulau Pinang pada hari Sabtu, 3 Oktober 2009 mulai jam 9:30 pagi hingga 12:00 tengahari bertempat di Dewan Seri Mutiara, Politeknik Seberang Perai , Seberang Perai Tengah.

Sehubungan dengan itu, Orang ramai adalah dijemput hadir bersama keluarga masing-masing untuk memeriahkan suasana majlis itu nanti.

Tuesday, September 29, 2009

Sekitar Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Penanti






Pada Hari Raya kedua yang jatuh pada 21 September 2009 telah berlangsung majlis rumah terbuka Aidilfitri DUN Penanti. Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran TYT Tun Dato Seri Utama (Dr.) Hj. Abdul Rahman bin Hj. Abbas, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Y.B. Dato' Seri Anwar bin Ibrahim dan isteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dan isteri serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Majlis diadakan di Padang Awam Taman Guar Perahu, Penanti.

Lebih kurang 10 jenis hidangan disediakan kepada tetamu yang berkunjung dalam majlis ini. Dianggarkan 6000 orang menghadiri majlis pada kali ini.

Y.B. Mansor turut menyumbang "duit raya" kepada kanak-kanak bagi memeriahkan majlis.

Majlis Sumbangan Aidilfitri Untuk Anak Yatim

 








26 September 2009. YB Mansor menyampaikan sumbangan kepada lebih kurang 40 kanak-kanak yang merupakan anak yatim di Dun Penanti hari ini.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran konvoi bermotosikal berkuasa besar. Anak-anak yatim turut dibawa menaiki motosikal tersebut bagi menghiburkan hati mereka sempena menyambut hari raya.

Saturday, September 19, 2009

Perutusan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sempena Hari Raya Aidilfitri 2009/1430H

Ramadhan telahpun meninggalkan kita dan kini Syawal pula bertamu. Selama sebulan umat Islam berpuasa menahan diri bukan sahaja dari lapar dahaga malah yang lebih utama, menahan nafsu dari segenap aspek kehidupan. Semoga latihan selama sebulan ini telah menjadikan kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa dan pada masa yang sama mengukuhkan iltizam kita untuk terus istiqamah di dalam perjuangan.  

Semangat Syawal pada kali ini seharusnya ini menjadi pendorong bagi kita semua untuk terus menyemarakkan obor perjuangan demi mewujudkan sebuah pentadbiran yang adil di negara ini. Apatah lagi Syawal kali ini disambut dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Kerajaan bukan sahaja gagal mengambil langkah-langkah berkesan menanganinya malah dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga petrol yang barang pasti melonjakkan harga barang dan meningkatkan kos sara hidup rakyat. 

Syawal juga kita sambut dengan turut menginsafi malapetaka yang melanda saudara-saudara kita di seluruh dunia; di selatan Thailand, Palestin dan di Iraq antaranya. Penindasan berterusan terhadap mereka seharusnya menjadi pengajaran kepada kita akan peri pentingnya kita menghargai kemerdekaan yang kita nikmati ini dengan membuka ruang lingkup yang seluas mungkin bagi mempraktikkan prinsip-prinsip demokrasi. Perpaduan kaum adalah inti pati utama bagi sebuah negara merdeka. Justeru parti politik berteraskan kaum serta mengamalkan adu domba berbaur perkauman harus ditolak sama sekali kerana ia bakal mengundang perpecahan dan kehancuran bangsa.  

Sempena Syawal yang mulia ini, saya mengucapkan selamat menyambut Eidul Fitr kepada pimpinan parti, pimpinan Pakatan Rakyat, ahli-ahli dan para penyokong serta seluruh umat Islam. Marilah kita perkuatkan azam dan tekad untuk memperbaharui perpaduan agar dapat sama-sama kita bina sebuah negara demokrasi yang adil, maju, makmur dan sejahtera. 

Salam Eidul Fitr. Maaf Zahir Batin.

DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat 

Friday, September 18, 2009

Jemputan Majlis Rumah Terbuka YB Mansor


Monday, August 24, 2009

Politik Durjana dan Kempen Memfitnah dan Memburukkan Pakatan Rakyat oleh Umno-BN di Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir

Permatang Pasir, 24 Ogos 2009: Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin, yang juga Ahli Parlimen Ampang, telah mendedahkan beberapa taktik durjana dalam kempen Pilihan Raya Kecil Umno-BN di Permatang Pasir dalam satu sidang media di Markaz Pemuda Pas Kg Pelet semalam.


Pengundi telah dikirimkan warkah-warkah yang berunsur fitnah melalui pos.


Bukti tersebut telah didapati dan diserahkan oleh para pengundi dari Kg Pelet kepada petugas pilihan raya Wanita KEADILAN. "Bayangkan bahawa sekali hantar menggunakan setem 30sen yang berjumlah RM6000 untuk penghantaran kepada 20 ribu pengundi… jika dihantar sebanyak sepuluh kali akan mendapati keseluruhan jumlah wang, jika diambilkira perbelanjaan lain akan mudah saja melepasi perbelanjaan yang di benarkan oleh SPR dalam sesebuah pilihan raya kecil," jelas Zuraida Kamaruddin.

(Gambar: dari kiri, Saudara Zalizan, Zuraida Kamaruddin, dan Rodziah Ismail)


Para pengundi juga telah dikirimkan wang palsu untuk meraih undi di Permatang Pasir. "Cetakan wang palsu adalah suatu jenayah…ia satu taktik untuk menipu rakyat… satu tidakan yang amat tidak bertanggungjawab dan sama sekali bukan mencerminkan 1Malaysia yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Najib Razak," kata Zuraida Kamaruddin.


Serentak itu, enam puluh penduduk telah mengadu kepada wakil KEADILAN di Kg Pelet, Saudara Zalizan bahawa mereka (penduduk) sentiasa diganggu oleh SMS yang berunsur memfitnah Pakatan Rakyat, dan mengugut penduduk supaya tidak mengundi calon Pakatan Rakyat.


(Gambar: Rodziah Ismail menunjukkan wang palsu bernilai RM100)

Wanita KEADILAN dan penduduk terbabit akan membuat laporan polis terhadap kesemua aduan-aduan tersebut hari ini.


Poster-poster yang sangat aib, di mana pihak-pihak yang tidak bermoral dan bertanggungjawab telah memperlihatkan kepada khalayak poster-poster sebegini:




Zuraida Kamaruddin menyelar pihak-pihak yang berselindung disebalik simbol parti politik lain dan memfitnah PAS. Penduduk telah menyatakan kemarahan mereka dan tidak termakan dengan tohmahan-tohmahan murahan sedemikian.


Turut hadir dalam siding media itu ialah Timbalan Ketua Wanita, Rodziah Ismail yang juga Ketua Biro Pilihan Raya Wanita KEADILAN dan EXCO Kerajaan Negeri Selangor serta pimpinan Wanita KEADILAN peringkat Pusat dan Negeri Pulau Pinang.


"Isu-isu yang ditimbulkan (dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir ini) adalah berbentuk perkauman yang bertujuan melaga-laga antara Melayu dan Cina dan sebagainya…politik durjana…yang hanya berniat memecah-belahkan masyarakat … ia suatu tindakan terdesak Umno-BN yang langsung tidak menggambarkan 1Malaysia yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, bahkan ia adalah suatu dongengan…" tegas Rodziah Ismail.


"Kes wang palsu membuktikan bahawa pihak yang mencetak wang tersebut masih memilih politik wang, boleh dihukum di bawah ISA…pihak berkuasa mesti segera disiasat dan dibawa ke pengadilan mereka yang tidak bertanggungjawab…tidak boleh ditutup hanya kerana laporan berpunca dari Pakatan Rakyat. " ujar beliau lagi.


Rodziah Ismail juga menegaskan bahawa amalan Umno-BN yang menggunakan jentera kerajaan dalam pilihan raya telah berlaku sejak dahulu lagi. Laporan demi laporan telah dikemukakan tetapi tiada satupun tindakan wajar yang diambil oleh pihak-pihak yang berkuasa.


Petugas Wanita KEADILAN telah mendapati di Kg Ara, Puteri Umno Negeri Pulau Pinang dan Puteri Umno Bahagian Permatang Pauh telah menjadikan pusat atau dewan orang ramai sebagai bilik gerakan kumpulan Umno-BN (gambar bawah).


Rakyat, khususnya pengundi Permatang Pasir, merasakan fitnah yang dilemparkan terhadap Pakatan Rakyat adalah keterlaluan dan boleh menatijahkan krisis kepercayaan terhadap Umno-BN dan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.






Acara Kempen DSAI di Permatang Pasir pada 24 Ogos 2009

ACARA KEMPEN DATO' SERI ANWAR IBRAHIM DI PILIHAN RAYA KECIL PERMATANG PASIR - 24 OGOS 2009 (ISNIN)
 
6.30 - 8.00 mlm:
Tazkirah, Buka Puasa dan Solat Maghrib
Tempat: Masjid Permatang Pasir
 
8.42 - 10.30 mlm:
Solat Isyak, Tarawikh dan Tazkirah
Tempat: Masjid Permatang Pauh
 
9.00 - 12.00 mlm:
Ceramah- Grand Fnale
Tempat: Taman Cermai - Sama Gagah

Panel penceramah : 
i. YB Dato' Seri Anwar Ibrahim
ii. YB Azmin Ali
iii. YB Saifudin Nasution
iv. YBhg Dato' Seri Chua Jui Meng
v. YBhg Dato' Zaid Ibrahim
vi. YBhg Shamsul Iskandar
vii. YB Sim Tze Sim
viii. Ustaz Mohd Salleh Man (calon)
 
PEJABAT DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

KENYATAAN MEDIA - Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah Berhubung Isu Keluar Parti ADUN Lunas

KENYATAAN MEDIA
UNTUK EDARAN SEGERA

23 Ogos 2009
 
Pihak Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menerima maklum bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Lunas yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB Mohammad Radzhi Salleh, ADUN daripada KEADILAN dan memegang portfolio Exco Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat Serta Sumber Tenaga Manusia dalam kerajaan negeri Kedah telah mengumumkan pendiriannya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini mengisytiharkan dirinya keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

Bagi pihak Parti Keadilan Rakyat Kedah kita amat kesal dengan sikap yang tidak bertanggungjawab ini. Telah menjadi satu kebiasaan apabila ada pilihanraya kecil, akan ada isu-isu lompat parti. Kita menjangkakan ini adalah sebahagian daripada tindakan yang dirancang oleh Barisan Nasional untuk memanipulasi isu menjelang pilihanraya kecil Permatang Pasir pada 25 Ogos nanti.

Prestasi lemah beliau dalam kerajaan negeri juga amat mengecewakan pimpinan parti, ini termasuklah tuntutan perbelanjaan beliau yang tidak munasabah, dan masalah perkahwinannya di Thailand yang kini sedang dalam proses di Mahkamah. Kami juga telah memberi amaran keras kepada beliau untuk membuat perubahan prestasi kerja beliau dan khidmatnya di kawasan, namum beliau tidak bersedia untuk melakukan perubahan yang membuatkan ia mengistiharkan keluar dari parti hari ini. Ekoran daripada itu juga Cabang Padang Serai telah digantung oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan diambil-alih pengurusan dan pentadbirannya oleh Majlis Pimpinan Negeri sehingga mesyuarat agung cabang yang akan diadakan nanti. Keputusan ini dibuat pada mesyuarat MPP 26 Julai 2009 yang lalu.

Sehubungan dengan itu kepimpinan KEADILAN Kedah berdiri teguh mendokong dan menyokong kepimpinan YAB Datuk Seri Ust. Azizan bin Abd. Razak sebagai Menteri Besar dan selanjutnya mencadangkan kepada YAB Menteri Besar untuk memohon pekenan KDYMM Tuanku Sultan Kedah mengugurkan jawatan beliau sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Pimpinan Parti Keadilan Kedah juga dengan ini mendesak YB Radzi juga untuk meletak jawatan sebagai ADUN Lunas.
 
YB. HJ. AHMAD BIN KASIM
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri
Parti Keadilan Rakyat Negeri Kedah
 
Pejabat Negeri Kedah, 
Parti Keadilan Rakyat, 
Lot 6 & 7, Tingkat 2
Kompleks Perniagaan Utama
Jalan Sultana Sambungan
05350 Alor Setar

Tel: +604 7325 593
Faks: +604 7345 593