Saturday, January 9, 2010

Kejadian Membakar Gereja Bertentangan Dengan Prinsip Agama

*KENYATAAN MEDIA*

*Tarikh: 9 Januari 2010*

*Kejadian Membakar Gereja Bertentangan Dengan Prinsip Agama*

Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat, merakamkan
kekesalan yang tidak terhingga di atas perkembangan terkini di mana beberapa
buah gereja telah dicerobohi.

Sesungguhnya, perbuatan melakukan kerosakan kepada tempat ibadah mana-mana
penganut agama adalah sangat bertentangan dengan prinsip agama Islam malah
mana-mana agama sekalipun. Di dalam Al-Quran dinyatakan:

"Orang-orang yang diusir dari kampung halamannya tanpa alasan yang benar,
melainkan hanya kerana mereka berkata, "Tuhan kami adalah Allah." Jika Allah
tidak membangkitkan sebahagian manusia menolak (kezaliman) sebahagian yang
lain, nescaya telah dirobohkan biara-biara Nasrani,
gereja-gereja,rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid yang
didalamnya banyak di sebutkan nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti akan
menolong orang yang menolong agamaNya, Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi
Maha Perkasa." (Al-Hajj: 40)

Kami menyeru kepada semua pihak agar bertenang dan berfikiran secara
rasional dalam menangani isu yang sedang melanda negara pada ketika ini.
Tindakan yang bersifat provokasi hanya akan memburukkan keadaan.

Kami berpandangan bahawa insiden ini boleh menimbulkan ketegangan antara
agama dan mengancam keselamatan negara. Oleh yang demikian kami menuntut
kepada pihak berkuasa supaya bertindak dengan tegas dan segera bagi
memastikan mana-mana individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan
jenayah berkenaan diadili dengan sewajarnya.

*DR MUHD NUR MANUTY*
*Pengerusi, Biro Pemahaman & Pemantapan Agama*
*Parti Keadilan Rakyat*
*

No comments:

Post a Comment