Sunday, April 26, 2009

Alasan SPR Tidak Masuk Akal

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memberi alasan yang tidak masuk akal apabila mengatakan masalah memilih pusat penamaan calon sebagai alasan belum mencapai keputusan sama ada Pilihan Raya Kecil N12 Penanti akan diadakan atau sebaliknya.

Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee, alasan logistik diberikan pegawai SPR sebagai punca SPR menangguhkan pengumuman keputusannya kepada Isnin hadapan.

“Kita telah menemui pegawai-pegawai SPR dua hari yang lepas (25 April) dan kami diberitahu SPR tidak dapat membuat pengumuman sehingga sekolah yang dipilih sebagai pusat penamaan calon memberi maklum-balas secara bertulis. Ini alasan mereka,” kata Tony Pua.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini selepas menghadiri forum kesamarataan jantina DAP.

Tony Pua adalah diantara delegasi DAP yang mengadakan mesyuarat dengan SPR berhubung DUN Penanti Khamis lalu.

Sebelum ini, Pengerusi SPR Abdul Aziz Mohd Yusof dilapor sebagai berkata SPR akan mengumumkan status kerusi DUN Penanti pada 24 April serta tarikh pilihan raya kecil sekiranya kerusi itu dipertandingkan.

Beliau juga turut mengesahkan ibu pejabat SPR di Putrajaya dan Pengarah Pilihan Raya SPR Pulau Pinang telah menerima notis pengosongan kerusi DUN Penanti daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang 17 April lalu.

Namun kelewatan kali ini menguatkan persepsi bahawa badan pilihan raya itu masih teragak-agak untuk mengadakan pilihan raya.

Tony Pua menambah alasan logistik yang diberikan SPR itu mengesahkan anggapan rakyat bahawa SPR di bawah telunjuk pihak tertentu.

“Kita percaya alasan yang diberikan tidak munasabah kerana ini bukan kali pertama SPR mengadakan pilihanraya kecil. SPR pernah mengadakan pilihanraya kecil di kawasan Penanti iaitu semasa Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh. Demikian itu SPR tidak ada alasan untuk menangguh-nangguhkan keputusan mereka melihat dari aspek pentadbiran,”

Sebelum ini, Penasihat DAP Lim Kit Siang membidas kelewatan SPR mengumumkan status DUN Penanti.

Pemimpin veteran itu mempersoalkan apakah SPR menanti isyarat daripada barisan Nasional dan apakah parti itu berani bertanding di Penanti.

BN tewas dalam empat pilihan raya kecil pasca Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac tahun lalu.

Dalam P.R.U. lalu, calon PKR Mohammad Fairus Khairuddin menewaskan calon BN Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti sebanyak 2,219 undi. - TV Antara

No comments:

Post a Comment