Thursday, April 23, 2009

Muhyiddin: BN tak takut sesiapa tanding pilihan raya kecil

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak pernah takut kepada sesiapa dalam menghadapi pilihan raya kecil, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita tak pernah takut kepada sesiapa... soalan pilihan raya ini biasa kita lalui... menang kalah itu adat dalam pertandingan. Kita akan hadapi apa pun sepanjang masa," katanya.

Terdahulu beliau yang juga Menteri Pelajaran melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak Indah di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail bahawa BN enggan meletakkan calon bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Penanti kerana BN adalah "underdog".

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, soal sama ada ia akan bertanding atau tidak belum diputuskan lagi.

Mengenai pilihan raya kecil Penanti, Muhyiddin berkata, soal BN kemungkinan tidak meletakkan calon di Penanti adalah pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan respons daripada beberapa pihak.

"Kita belum membuat keputusan... esok kita ada mesyuarat MT (Majlis Tertinggi) dan kita akan bincanglah.

"Lepas ini pimpinan BN yang akan beri (maklum balas) kepada Perdana Menteri," katanya.

Berhubung perubahan dalam kepimpinan MT Umno, Timbalan Presiden itu memberitahu, perubahan pasti akan dilakukan selepas setiap kali perhimpunan agung dan pemilihan parti.

Katanya, perkara itu akan diumumkan esok oleh Najib dalam mesyuarat MT.

"Apa yang penting adalah untuk kita melihat untuk memperkukuhkn parti dan perubahan yang dibuat semuanya adalah untuk memperbaiki, meningkatkan prestasi parti kita," katanya.

No comments:

Post a Comment