Wednesday, April 22, 2009

Umno kumpul pandangan pengundi Penanti

Apr 22, 09 12:07pm
(malaysiakini)


Umno Permatang Pauh sedang mengumpul pendapat umum daripada pengundi di Penanti sama ada mereka mahu BN bertanding dalam pilihanraya kecil di situ ekoran peletakan jawatan penyandangnya,Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR.
Ketua Umno bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata maklumat balas awal yang diterima daripada pungutan pendapat menerusi SMS menunjukkan 80 peratus daripada 300 pengundi yang diminta memberi pendapat mahukan BN bertanding.
"Umno Permatang Pauh akan membuat rumusan daripada pungutan pendapat itu dan mengemukakannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BN Permatang Pauh malam tadi, lapor Bernama.
Minggu lalu, Mohammad Fairus melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Penanti itu dengan alasan mahu melanjutkan pelajaran. Beliau sebelum itu meletak jawatan sebagai timbalan ketua menteri I Pulau Pinang ekoran dakwaan terlibat dalam rasuah.
Selama ini, kata Abdul Jalil, PKR telah mensia-siakan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat di Penanti. Apa yang jelas, katanya, ialah jelas PKR telah melakukan kesilapan besar dengan meletakkan calon yang yang tidak berkualiti dalam pilihanraya umum lalu.
"Walaupun telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I, Muhammad Fairus tidak memberikan sumbangan kepada kawasan itu," katanya. Abdul Jalil berkata adalah tidak wajar bagi PKR untuk meminta pengundi di Penanti memberikan peluang kedua kepada parti itu.
"Wang yang digunakan untuk mengendalikan pilihanraya adalah wang rakyat dan pembayar cukai. Gunakan wang itu untuk membantu rakyat bukan dibazirkan dengan sewenang-wenangnya," katanya.

No comments:

Post a Comment