Tuesday, May 26, 2009

PKR timbang tindakan undang-undang terhadap Aminah

AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG...Pengerusi PKR P.Pinang,Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata parti itu sedang menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap calon Bebas, Aminah Abdullah.

PULAU PINANG: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang menimbang kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Aminah Abdullah, yang mendakwa beliau ditawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang sekiranya beliau kembali menyertai parti itu dan memenangi pilihan raya kecil Penanti Ahad ini.

Pengerusi Badan Perhubungan PKR Negeri Datuk Zahrain Mohamed Hashim (gambar) berkata PKR tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Aminah dan dakwaan mengenai tawaran itu tidak berasas semasa sekali.

"Kami tidak teragakagak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya perkara ini (dakwaan oleh Aminah) berterusan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Aminah dalam persidangan akhbar semalam turut mengemukakan CD rakaman audio yang didakwanya mengandungi bukti bahawa beliau ditawarkan RM80,000 dan jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, jika beliau menyertai semula parti sekiranya menang pilihan raya kecil Penanti Ahad ini.

Zahrain berkata beliau tidak pernah mendengar sebarang arahan dari manamana pemimpin PKR untuk menawarkan sebarang ganjaran kepada Aminah.

"Saya juga tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk buat tawaran kepada Aminah, dan saya rasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi peluang membuat siasatan terlebih dahulu sebelum kami buat sebarang keputusan berhubung dakwaan itu," katanya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment